Serangan Taliban di selatan Afghanistan, ribuan larikan diri

Antara keluarga yang melarikan diri dari perkampungan Nadali di wilayah Lashkar Gah berikutan pertempuran antara Taliban dan tentera Afghanistan. - Foto AFP
Antara keluarga yang melarikan diri dari perkampungan Nadali di wilayah Lashkar Gah berikutan pertempuran antara Taliban dan tentera Afghanistan. – Foto AFP

LASHKAR GAH: Puluhan ribu penduduk di selatan Afghanistan meninggalkan kediaman masing-masing susulan pertempuran antara Taliban dan tentera.

Pihak berkuasa berkata keganasan semakin memuncak di sebalik rundingan damai yang sedang dijalankan.

Militan Taliban melancarkan beberapa siri serangan di bandar Lashkar Gah, Helmand Ahad lalu, yang memaksa Amerika Syarikat (AS) mengerahkan serangan udara bagi mempertahankan tentera Afghanistan.

Pertempuran itu menyebabkan penduduk setempat melarikan diri menggunakan motosikal, teksi dan bas dengan anggaran lebih 5,100 keluarga atau 30,000 orang sudah melarikan diri setakat ini.

Pengarah Jabatan Pelarian di Helmand, Sayed Mohammad Ramin, memberitahu AFP bahawa sesetengah keluarga terpaksa tinggal di jalanan di Lashkar Gah kerana pihaknya kehabisan khemah.

Penduduk tempatan, Hekmatullah, memberitahu AFP beliau terpaksa melarikan diri apabila rumah jirannya dibedil mortar, yang meragut nyawa dua wanita.

Seorang petani, Attaullah Afghan, yang melarikan diri bersama 12 ahli keluarganya, berkata pertempuran sangat sengit hingga tiada masa untuk membawa bersama pakaian, hanya sempat selamatkan keluarga.

Pertempuran meletus sekurang-kurangnya di empat daerah setakat hari ini, kata pihak berkuasa Afghanistan, yang memaklumkan pihak tentera membalas beberapa serangan Taliban di kawasan terbabit.

Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan berkata ribuan melarikan diri dan menggesa pejuang Taliban serta tentera mengambil langkah melindungi orang awam, termasuk memberi laluan selamat kepada mereka.

Pertembungan antara dua helikopter di Nawa, Helmand awal hari ini, turut membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang, kata jurucakap gabenor tempatan, Omar Zhwak. – AFP

Leave a Reply