Hariss pulang ke Singapura untuk lanjutkan pelajaran

KUALA LUMPUR, 12 Okt  — Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Hariss Harun, hari ini menamatkan spekulasi mengenai masa hadapannya, apabila mengumumkan yang beliau akan melanjutkan pelajarannya di Akademi PSB Singapura.

Pemain berusia 29 tahun dari Singapura itu berkata, beliau telah ditawarkan biasiswa pendidikan kecemerlangan sukan Akademi PSB, untuk melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Kesenian dengan Kepujian dalam Perniagaan dan Pemasaran bersama Coventry University, England, selain menjadi duta kepada kolej tersebut.

“Saya hampir sampai kemuncak karier bola sepak saya, dan saya berharap dapat bermain untuk beberapa tahun lagi, tetapi saya perlu bersedia untuk kehidupan selepas sukan.

“Oleh sebab itu, saya akan bersedia dari sekarang dengan membuat keputusan penting bagi mendapatkan pendidikan untuk saya. Jangan tunggu hingga ia terlewat,” kata Hariss dalam Instagramnya hari ini.



Hariss yang membantu Singapura menjuarai Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada tahun 2012 juga mendedahkan yang beliau akan terus bermain bersama JDT walaupun beliau melanjutkan pelajaran di negaranya.

Baru-baru ini, Hariss dengan bersahaja menyatakan mengenai perkembangan kariernya selepas membuat hantaran ‘Conventry here I come’ di Facebooknya dan ada dalam kalangan peminatnya mendakwa yang beliau akan menyertai Kelab Conventry City FC, Liga Kejuaraan Inggeris.

JDT menjuarai Liga Super untuk kali ke tujuh berturut-turut sejak 2014 minggu lepas, dan dalam masa yang sama merekodkan musim tanpa kekalahan untuk dua musim selepas 2016.

Diasaskan apda 1964, Akademi PSB merupakan sebuah pusat pendidikan tinggi swasta yang berkedudukan tinggi di Singapura.



— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button