‘AKU BUKAN GILA’ PULA DICETAK ROMPAK: “SAYA DOAKAN JATUH MISKIN & BERDEPAN UJIAN BESAR”

“Baru saja keluar filem Aku Bukan Gila, sekarang, saya yang rasa macam nak gila. Saya takkan maafkan mereka yang melakukan kerja-kerja kotor ini. Nanti, merangkak cari saya di akhirat.

“Saya doakan mereka ini jatuh miskin dan berdepan ujian besar,” demikian kata penerbit filem, Datuk Ayu Puteh apabila kini sekali lagi terpaksa berdepan situasi sama apabila filem terbaru berjudul ‘Aku Bukan Gila’ pula menjadi mangsa.

Sebelum ini filem ‘Ada Apa Dengan Dosa’ yang ditayangkan beberapa bulan lalu dicetak rompak. Ayu berkata, tahun ini menjadi mimpi ngeri buatnya apabila dua filem terbitannya diciplak pihak tidak bertanggungjawab dan dijual serta diedarkan secara haram.

Klik untuk gambar besar

Diedarkan secara terbuka di Facebook oleh individu tidak bertanggungjawab, filem ‘Aku Bukan Gila’ itu juga turut dijual dalam bentuk pautan (link), VCD serta fail dalam pemacu pena.

Berkali-kali berdepan situasi sama, Ayu tidak akan memaafkan tindakan individu yang mengambil keuntungan ‘atas angin’ ini. Ayu juga meluahkan kekecewaannya apabila individu tidak bertanggungjawab itu kebanyakannya adalah dalam kalangan bangsanya sendiri.

“Apabila saya lihat akaun-akaun yang menjual serta mengedarkan pautan itu, kebanyakannya adalah bangsa Melayu dan ‘orang-orang kita’ inilah yang membuat kerja cetak rompak ini secara terang-terangan. Mereka buat kerja itu macam tak tahu takut akan dosa serta rasa bersalah!” tuturnya.

Menurutnya, filem ‘Aku Bukan Gila’ lakonan Fasha Sandha dan Beto Kusyairy itu ditayangkan di platform iflix yang sememangnya percuma.

“Filem ini ditayangkan di iflix sebab sekarang, dalam situasi pandemik begini, kita semua sedia maklum mengenai kekangan penonton untuk ke pawagam.

“Dah tayang di platform percuma pun, masih ada lagi yang sanggup beli dan tonton secara haram? Saya sendiri tak faham apa yang bermain dalam fikiran mereka,” ujarnya.

Terdahulu, pengarah filem ‘Aku Bukan Gila’, Rahila Ali juga meluahkan rasa terkilannya dengan sikap individu-individu tidak bertanggungjawab ini.

‘Aku Bukan Gila’ mengangkat kisah mengenai penyakit bipolar dan menjadi salah salah satu medium untuk menyampaikan mesej mengenai kesihatan mental kepada masyarakat.

Isu cetak rompak di negara ini bukan lagi menjadi isu baru bahkan sudah berpuluh-puluh tahun dibahaskan. Namun, sehingga hari ini, belum ada jalan penyelesaian tegas dalam menyelesaikan masalah ini.

www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *