Dua anggota polis cedera diserang sekumpulan lelaki

BACHOK, 15 Okt — Dua anggota polis cedera selepas diserang sekumpulan lelaki ketika menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di sebuah kedai di Lembah Sireh, Kota Bharu, semalam.

Kedua-dua anggota berkenaan adalah Inspektor N Indra Nahu, 33, mengalami luka di muka kerana ditumbuk dan dicakar, manakala Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sukeli, 29, patah jari tangan kanan.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, anggota polis berkenaan sedang menjalankan operasi bersama Majlis Daerah Kota Bharu-Bandaraya Islam (MDKB-BRI) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau kepatuhan orang ramai terhadap SOP.

Katanya, selepas memperkenalkan diri sebagai pasukan penguat kuasa, mereka diserang sekumpulan lelaki sehingga berlaku pergelutan.

“Polis telah menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun termasuk seorang lelaki dipercayai pemilik kedai. Seorang daripada penyerang yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dan polis masih memburu seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya kepada pemberita selepas melawat salah seorang anggota terbabit di Kampung Perupok, di sini, hari ini.

Menurut beliau, mereka direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis serta menghalang tugas penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata seorang ibu tunggal berusia 50 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket ‘love scam’ melalui media sosial Facebook dan mengalami kerugian berjumlah RM615,000.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa berasal dari Pasir Puteh telah dihubungi seorang kakitangan syarikat kurier menyatakan terdapat satu bungkusan dari England di atas namanya yang dihantar oleh individu dikenalinya di Facebook sejak April lepas.

Mangsa diminta membuat bayaran caj tempatan berjumlah RM1,350 ke dalam satu akaun bank milik individu kononnya seorang pegawai di syarikat tersebut, dan kemudiannya secara berterusan diarahkan membuat pelbagai jenis bayaran antaranya pelepasan wang tunai, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sijil pelepasan United Nation dan pengesahan bebas bahan kimia.

Tambahnya, mangsa berbuat demikian selepas dimaklumkan kakitangan syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika gagal membuat bayaran.

“Sehingga September lepas, mangsa telah membuat pelbagai transaksi bayaran ke beberapa akaun milik individu berbeza berjumlah RM615,000,” katanya.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – APA FAEDAH UNTUK PENEROKA? (EPISOD 1.5)

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker