Lesen kilang kelapa sawit digantung tiga bulan sebabkan pencemaran di Sungai Sembrong Kiri

JOHOR BAHRU, 15 Okt — Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Johor menggantung lesen sebuah kilang kelapa sawit selama tiga bulan kerana menyebabkan pencemaran di Sungai Sembrong Kiri, dekat Kluang, dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata penggantungan lesen berkuat kuasa semalam sehingga 14 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata tindakan penggantungan itu susulan aduan mengenai pencemaran di sungai berkenaan pada 13 Oktober lepas (Selasa) mengenai air sungai yang bertukar warna menjadi kehitaman serta mengakibatkan penutupan loji Semberong Timur.

“Siasatan lanjut mendapati benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit telah pecah. JAS Cawangan Kluang mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan operasi kilang semasa penguatkuasaan dijalankan.

“Pihak kilang juga didapati telah membaiki benteng yang pecah dan air dari kolam dapat dikawal daripada terus melimpah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Vidyananthan, penggantungan lesen itu disebabkan kegagalan kilang mematuhi syarat-syarat lesen terutamanya gagal memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.

“Notis Arahan juga dikeluarkan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan. Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau meminta agar orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker