MFL berhak tentukan format pertandingan Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhak menentukan mekanisme sesuatu pertandingan termasuk mengekalkan format Liga Super dan Liga Premier.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata badan induk itu tidak menghalang sekiranya MFL, selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), ingin mengekalkan format sedia ada termasuk menyingkirkan dua pasukan tercorot Liga Super ke Liga Premier.

MFL mengambil keputusan mengehadkan perlawanan Liga Super dan Liga Premier daripada 22 perlawanan kepada 11 perlawanan sahaja pada musim ini, susulan penularan pandemik COVID-19.

“Bagi AFC, kami akan menghormati jika keputusan itu diambil oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL, selain perkara itu ada dibincangkan bersama oleh semua pihak yang berkepentingan yang mewakili semua pasukan yang bertanding,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

“Dalam situasi penularan COVID-19 masih berleluasa, mungkin banyak pertimbangan perlu diperhalusi termasuk soal promosi serta penurunan dan bagi AFC, asalkan sesuatu pertandingan itu masih berjalan pada musim ini, kami boleh menerima pendekatan yang dipilih, asalkan ia bukan bersifat di luar semangat kesukanan dalam sesuatu pertandingan,” tegas Windsor.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa penganjur Liga-M itu telah menerima cadangan daripada enam pasukan yang memohon supaya tiada proses penyingkiran daripada Liga Super ke Liga Premier pada musim hadapan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat untuk pertimbangan sewajarnya.

Ab Ghani sebelum ini mengesahkan format Liga-M 2020 kekal, dengan dua pasukan terbawah Liga Super 2020 tersingkir ke Liga Premier 2021, manakala dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, naik ke Liga Super pada musim depan.

Pasukan Felda United dan Polis Diraja Malaysia tersingkir ke saingan Liga Premier pada musim depan setelah menduduki tangga ke-11 dan ke-12, manakala pasukan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang menduduki dua tangga teratas Liga Premier musim ini, layak ke Liga Super 2021.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker