Pengurusan kes rasuah Lim, isteri dan Phang ditetapkan 18 Dis

BUTTERWORTH, 16 Okt  — Mahkamah Sesyen Butterworth di sini menetapkan 18 Dis ini bagi pengurusan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua  Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya  dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) S. Selvaranjini serta peguam RSN Rayer masing-masing memohon tarikh baharu pada prosiding sebutan kes itu hari ini.

Selvaranjini turut memaklumkan mahkamah pihaknya memerlukan sedikit lagi masa kerana masih terdapat beberapa dokumen yang belum dibekalkan kepada pihak pembelaan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.



Rayer berkata pihaknya juga memohon sedikit masa  untuk meneliti dokumen yang telah diserahkan oleh pasukan pendakwaan.

Pada prosiding hari ini ketiga-tiga tertuduh tidak hadir  ke mahkamah  kerana mendapat pengecualian kehadiran.

Pada 11 Ogos lalu, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi  Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd  ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot  282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung  mempunyai kepentingan.



Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh  dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan  denda  tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Sementara itu Chew dituduh atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram  dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.



Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima  wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada  syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014; 3 Sept 2014 dan 11  Ogos 2015  serta 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan  Keganasan  2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta  atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lim, 60, Chew, 56, dan  Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.



— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – FAKTA vs AUTA (EPISOD 1)

KERTAS PUTIH FELDA – APA FAEDAH UNTUK PENEROKA? (EPISOD 1.5)



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button