Selatan Sudan bergelut kekalkan pengeluaran minyak
JUBA, 16 Okt — Selain terkesan dengan penurunan harga minyak di pasaran global dan sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19, Sudan Selatan kini berhadapan dengan masalah geologi dalam mengekalkan pengeluaran minyak yang optimum.
Negara itu sangat bergantung kepada pendapatan minyak yang merangkumi 98 peratus belanjawannya. Sejak lima bulan terakhir, kerajaan sudah tidak mampu membayar gaji pekerja, menurut agensi Anadolu.
Dalam temu bual eksklusif dengan agensi itu di ibu negara Juba, Setiausaha Kementerian Petroleum, Awow Daniel Chuang mengesahkan pengeluaran minyak telah dikurangkan kepada 165,000 tong sehari.
“Sekiranya kami mengharapkan kenaikan, ia tidak akan melebihi maksimum 5-10 peratus. Tidak mudah bagi kita untuk kembali ke 300,000 tong sehari seperti sebelumnya kerana cabaran geologi. Kami faham terdapat penurunan semula jadi dan simpanan minyak yang terhad,” katanya.
Setelah lima tahun bergelut dengan perang saudara, negara itu menjangkakan dapat meningkatkan pengeluaran minyak mentah kepada 350,000 tong sehari, tahap ketika sebelum perang. Sudan Selatan mengakhiri perang saudara yang berlanjutan selama bertahun-tahun setelah Presiden Salva Kiir menandatangani perjanjian damai dengan seteru politik lamanya Riek Machar pada September 2018.
Chuang berkata, penghasilan minyak turut berhadapan cabaran geologi berikutan banyak telaga minyak menghasilkan lebih banyak air daripada minyak. Menurutnya negara kini merancang untuk mendapatkan teknologi yang tepat untuk melihat apakah lebih banyak minyak dapat diekstrak.
“Pengeluaran kami menurun kepada 115,000-118,000 tong sehari di Dar dan di tiga blok GPOC dengan sekitar 50,000 tong sehari, menjadikan jumlahnya 165,000 tong sehari di seluruh negara,” katanya.
Selain COVID-19, banjir di banyak bahagian negara juga mempengaruhi kawasan minyak.
“Kebiasaannya banjir ini akan selalu mempengaruhi pengeluaran kerana ketika kawasan minyak ditenggelami air, beberapa telaga ditutup dengan air, yang mempengaruhi pengeluarannya. Adalah mustahil untuk akses ke telaga minyak apabila ia dibanjiri air.
Menurutnya negara itu sedang berusaha melakukan audit persekitaran dan telah mengundang beberapa syarikat asing, yang akan disaring minggu ini.
“Mereka akan datang dan membuat tawaran dan kemudian kami akan memilih yang terbaik. Ini adalah syarikat antarabangsa yang akan melakukan audit persekitaran. Kita perlu mendapatkan syarikat yang tepat sehingga kita dapat mengembalikan persekitaran ke status awalnya,” kata pegawai tinggi kementerian itu.
Negara ini masih berharap dapat menambah simpanannya dan memulakan pengeluaran di 14 blok lain.
“Kami mempunyai kira-kira 14 blok lagi selain kawasan pengeluaran sekarang. Setiap hari kami berusaha mengumpulkan data dan melakukan pemetaan, yang akan membantu kami membuka pusingan pelesenan. Pusingan pelesenan adalah untuk mengundang penawaran baharu, pengendali baharu di Sudan Selatan agar kita dapat meneroka minyak di kawasan lain. Terdapat potensi yang sangat besar untuk menemui lebih banyak minyak di daerah lain di Sudan Selatan,” katanya.
— BERNAMA
KERTAS PUTIH FELDA – APA FAEDAH UNTUK PENEROKA? (EPISOD 1.5)
KERTAS PUTIH FELDA – APA FAEDAH UNTUK PENEROKA? (EPISOD 1.5)