Hukuman penjara pengasuh Adam Rayqal kekal

Hukuman penjara pengasuh Adam Rayqal kekal
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap Noor Aqilah. – Foto fail NSTP

Hukuman penjara pengasuh Adam Rayqal kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun, terhadap bekas pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi lima bulan yang mayatnya ditemukan di dalam bahagian sejuk beku peti ais, tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud memaklumkan pendakwaan menarik balik rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Noor Aqilah Abd Rahman, 36.

Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, yang mewakili Noor Aqilah, turut memaklumkan panel itu, anak guamnya berhasrat menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan rayuan kedua-dua pihak. Noor Aqilah diperintah menjalani hukuman penjara itu mulai 14 Februari 2019.

Pada tarikh sama, Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan denda RM5,000 terhadap Noor Aqilah yang mengaku mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Wanita itu turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM8,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM5,000 ke atas Noor Aqilah yang mengaku bersalah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah sewanya di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves di sini di antara 6.20 petang dan 6.50 petang pada 3 Julai 2018.

Pada 8 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan dan menaikkan hukuman penjara kepada enam tahun, bagi kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, manakala hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan perintah lain yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang dikekalkan.

Bagaimanapun, mahkamah itu memerintahkan Noor Aqilah menjalani hukuman penjara secara serentak, iaitu enam tahun sahaja.

Mohd Redzuan, ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, berkata anak guamnya sudah membayar denda RM10,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam. – BERNAMA

Hukuman penjara pengasuh Adam Rayqal kekal



Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker