Mesyuarat MN dibatal saat akhir

KUALA LUMPUR, 19 Okt  — Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) yang sepatutnya berlangsung malam ini, dibatalkan pada saat akhir.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata ia dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Batal atas nasihat MKN,” katanya ringkas ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin tertinggi parti iaitu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dijadual menyertai mesyuarat itu juga tidak hadir.

Media mula berkumpul di Menara Dato Onn di sini sejak pukul 7.00 petang tadi.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilihat tiba di Menara Dato Onn pada 8.15 malam dan meninggalkan bangunan itu pada 11.05 malam.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh juga dilihat memasuki bangunan berkenaan kira-kira 8.05 malam.

Hari ini, Annuar dilapor berkata penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam MN dijangka dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MN malam ini.

— BERNAMA

UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU

UMNO DIGESA BUAT LAPORAN POLIS PENYEBARAN SURAT SOKONGAN PALSU

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker