Waris sahkan mayat di kebun kelapa sawit adalah pesara polis yang hilang

JOHOR BAHRU, 19 Okt — Mayat seorang lelaki yang dijumpai di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 26, Jalan Kahang-Mersing dekat Kluang kelmarin berkemungkinan besar adalah pesara polis yang pernah dilaporkan hilang sejak 31 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata keadaan mayat itu sudah reput namun disahkan waris yang melakukan pengecaman kerana mangsa memakai pakaian sama ketika dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menunggu keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa yang dijangka diterima dalam masa terdekat.

Lebih mengejutkan, siasatan awal polis selepas sebulan mangsa berusia 57 tahun itu dilaporkan hilang menunjukkan bahawa dia dibunuh rakan baiknya sendiri.



Mendedahkan perkara itu, Ayob Khan berkata penemuan mayat tersebut di lokasi berkenaan adalah hasil pandu arah dua suspek lelaki yang ditahan pada pagi 16 Okt lepas.

“Jarak penemuan mangsa ditanam dengan lokasi dilaporkan hilang adalah 20 kilometer.

“Selain itu, polis dimaklumkan bahawa bomba sudah menemukan motosikal mangsa di dalam Sungai Kahang pada 18 Okt dengan jarak dua kilometer dari kebun berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek utama yang dipercayai membunuh pesara polis dari Bahagian Cawangan Khas Kluang itu adalah rakan baik mangsa sendiri yang telah lama dikenali.



Ayob Khan juga percaya mangsa dibunuh di stor bengkel milik abang suspek yang menjalankan perniagaan tayar kenderaan, menggunakan objek tumpul berdasarkan empat kesan hentakan di bahagian kepala mangsa.

“Mangsa yang sudah lama mengenali suspek dipercayai telah meminjamkan sejumlah wang kepada rakannya itu untuk membantunya dalam perniagaan.

“Namun ketika mangsa berjumpa suspek dipercayai untuk meminta semula wangnya pada 31 Ogos, berlaku pertengkaran antara mereka, menyebabkan mangsa dibunuh di stor berkenaan sebelum dibawa dan ditanam di kebun kelapa sawit terbabit,” katanya sambil menambah bahawa mangsa sudah beberapa kali meminjamkan wang kepada suspek.

Selain kawan baik mangsa, turut ditahan dua kenalan suspek yang berusia 37 dan 41 tahun.



Mereka kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, Ayob Khan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat ASP K. Karthiggaibalan di talian 019-577 7221 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button