15 terbunuh di Nigeria sejak rusuhan terhadap polis bermula

ABUJA, 20 Okt — Sekurang-kurangnya 15 terbunuh sejak tunjuk perasaan membantah  kekejaman polis meletus bulan ini di Nigeria, kata Amnesty International pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pertubuhan hak asasi itu mengatakan dua pegawai polis adalah antara mangsa sementara ratusan orang cedera.

Tunjuk perasaan di seluruh negara telah berlanjutan sejak 7 Oktober walaupun unit Skuad Khas Anti Rompakan (SARS) yang kontroversi sudah dibubarkan.

Bantahan terhadap SARS berlangsung selama beberapa hari dan perusuh mengepung markasnya.

Mereka melaungkan “AKHIRI SARS” dan menuang cat merah pada jalan di hadapan bangunan itu –  simbolik terhadap dakwaan pembunuhan oleh pegawai SARS.

Walaupun SARS telah dibubarkan, penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi menuntut reformasi polis yang menyeluruh termasuk hukuman terhadap pegawai melakukan kesalahan, pembebasan tanpa syarat ke atas semua penunjuk perasaan yang ditahan dan pampasan untuk keluarga mangsa kekejaman polis.

“Pembubaran SARS hanya merupakan langkah pertama dalam komitmen kami terhadap penyusunan semula pasukan polis yang lebih meluas bagi memastikan bahawa tugas utama polis dan badan penguatkuasaan undang-undang yang lain tetap melindungi nyawa dan kehidupan rakyat kita,” ciap Presiden Muhammadu Buhari minggu lalu di Twitter.

Dalam laporan sebelumnya, Amnesty International mengatakan pihak berkuasa gagal menangani kekebalan yang dinikmati SARS, yang kekejaman dan rasuahnya “semakin melampau.”

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker