BELLA DALLY NAFI BERBASIKAL RENTAS NEGERI, MOHON MAAF ATAS KEKELIRUAN

Sedia sedia maklum mengenai negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini.

 

Bagaimanapun, semalam pelakon Bella Dally dilaporkan telah ditahan polis kerana dipercayai merentas negeri. Seperti dilaporkan, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally ditahan bagi membantu siasatan tindakannya mengayuh basikal ke Genting Sempah, Bentong di Pahang pada Ahad lalu.

Difahamkan, Bella ditahan selepas pihak polis melihat satu perkongsian yang dimuat naik di laman Instagramnya yang memaparkan dia bersama rakannya sedang berbasikal.

Sumber berkata, Bella bersama rakannya bergerak dari kediaman masing-masing di Dutamas menghala ke sebuah restoran yang terletak berhampiran Hospital Orang Asli, Gombak.



Klik untuk gambar besar

“Mereka meletakkan kenderaan di sana sebelum berbasikal melalui Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah. Kira-kira lebih 10 Kilometer mereka berbasikal sebelum patah balik ke kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan tangkapan pelakon tersebut bersama rakannya. Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

Terdahulu, gambar aktiviti berbasikal yang dikongsikan oleh Bella itu menerima kecaman daripada netizen yang tidak berpuas hati kerana dikhuatiri membawa jangkitan Covid-19 di daerah dan negeri zon hijau.



Menerusi gambar berkenaan, Bella turut menyertakan kapsyen, “Wohoo Genting Sempah with @diyanaba- nana”. Bagaimanapun, foto tersebut sudah pun dipadamkan dari Instagramnya.

Menerusi muat naik terbaru di Instagram, Bella mengakui dia dan seorang rakan melakukan aktiviti berbasikal di sekitar daerah Gombak, Selangor berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua berdekatan dengan sempadan negeri Selangor dan Pahang, baru-baru ini.

Ia susulan laporan mengenai tindakan pelakon tersebut bersama rakannya berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah pada 18 Oktober lalu, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Bagaimanapun Bella menjelaskan, dia tidak merentasi sempadan negeri seperti yang ditularkan. Menurut Bella, dia mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.

“Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.

“Saya sudah memberi keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. Gambar yang saya muat naik di Instagram dengan kapsyen “Woohoo Genting Sempah with …” menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya merentasi sempadan negeri Selangor dah Pahang serta melanggar PKPB.

“Saya ambil maklum kekeliruan yang berlaku namun perlu saya jelaskan kami masih berada dalam negeri Selangor dan tidak merentasi sempadan antara dua negeri. Jika saya berada di sempadan negeri, sudah tentu ada papan tanda dan garis sempadan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan.

“Apapun saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran daripada hantaran di Instagram saya tempoh hari. Ini sahaja kenyataan saya bagi merungkai kekeliruan yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Saya memohon maaf sekali lagi dan bersama-sama dengan semua dalam usaha kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Saya doakan semoga kita semua berada dalam keadaan selamat sentiasa,” tuturnya.

www.myartis.com / Sumber & foto: Rotikaya, Harian Metro & Instagram Bella Dally

ISU AIR SELANGOR – MB, EXCO TIDAK BERANI TUTUP KILANG HARAM PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

ISU AIR SELANGOR – MB, EXCO TIDAK BERANI TUTUP KILANG HARAM PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker