Datuk nafi menyamar pegawai kanan polis

Petaling Jaya: Lelaki bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu dengan menyamar pegawai kanan polis yang boleh menyelesaikan hutang along, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Azraie Jamaludin, 44, mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menipu S Ray Shashidran, 40, dengan memperdaya untuk menyerahkan wang tunai RM10,000 bagi penyelesaian hutang along di kafe di Tropicana Avenue, pada 4.18 petang 5 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati menipu individu sama dengan memperdayanya untuk menyerahkan wang tunai RM50,000 bagi penyelesaian hutang along di sebuah hotel pada 2 petang 9 Oktober lalu.



Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Altifah Hazimah Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Siti Rohaya Mohd Tajudin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan sebutan semula kes pada 14 Disember ini.

Harian Metro Ahad lalu melaporkan seorang peniaga kerugian RM60,000 akibat ditipu lelaki bergelar Datuk yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman kononnya mahu membantu menyelesaikan hutang mangsa dengan along.



 

AZRAIE mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI.
AZRAIE mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker