Klang digempur Polis

 

Oleh Pena Merah

Klang digempur Polis
POLIS menjalankan dalam serbuan Ops Aman Khas 1/2024 di Pelabuhan Klang. FOTO ihsan polis

Bukan saja mendapat pujian penduduk di sekitar Klang malah usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur daerah itu hampir tiga minggu menerusi Ops Aman Khas 1/2024 sebanyak tiga fasa bermula 15 Januari hingga 4 Februari merekodkan jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan seramai 1,502 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi dijalankan itu susulan aduan orang awam berkaitan jenayah kekerasan serta beberapa isu yang tular berkaitan kejadian jenayah di daerah terbabit.



Menurutnya, susulan itu, pihaknya merancang operasi terbabit sebanyak tiga fasa membabitkan tangkapan aktiviti gangsterism, serbuan di tapak projek, serbuan di sarang penagih dadah dan serbuan aktiviti maksiat, kontraban, premis barang lusuh, penempatan sasaran pendatang tanpa izin (Pati) dan aktiviti perjudian di daerah Klang Utara dan Klang Selatan.

“Operasi ini membabitkan kekuatan JSJ Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan.

“Sebanyak 95 pasukan dibentuk terdiri daripada 101 pegawai kanan dan 283 anggota,” katanya.

ANTARA Pati yang berjaya ditahan menerusi Ops Aman Khas 1/2024. FOTO ihsan polis
ANTARA Pati yang berjaya ditahan menerusi Ops Aman Khas 1/2024. FOTO ihsan polis

Mohd Suhaily berkata, selain itu, agensi penguatkuasaan lain turut terbabit bagi menjayakan operasi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Tenaga Kerja, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).



“Dalam membanteras isu gengsterime, jenayah kekerasan dan orang dikehendaki, polis melancarkan operasi selama tiga bermula 15 hingga 17 Januari lalu dengan membabitkan tangkapan seramai 85 orang terdiri 84 lelaki dan seorang wanita di mana daripada jumlah itu 29 orang adalah ahli kumpulan kongsi gelap.

“Selain itu, sebanyak 16 lokasi tapak projek dikenal pasti di Klang Utara dan Klang Selatan dipercayai menggunakan khidmat warga asing sebagai pengawal keselamatan di mana hasil serbuan mendapati lima tapak projek menggunakan tujuh warga asing sebagai pengawal keselamatan tanpa dokumen perjalanan diri sah,” katanya.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, tiga sarang penagihan dadah dikesan dengan penahanan 40 penagih terdiri 33 lelaki, seorang wanita, lima lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing.

“Bagi kilang haram pula, fokus utama operasi ini ialah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Traffickking Indicators.



“Sebanyak sembilan sasaran kilang haram diserbu pada 22 hingga 24 Januari lalu kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Imigresen di Klang Utara dan Klang Selatan dengan lapan kertas siasatan dibuka membabitkan 30 tangkapan terdiri lapan tempatan dan 22 warga asing.

POLIS menahan penagih dadah menerusi Ops Aman Khas 1/2024 sebanyak tiga fasa bermula 15 Januari hingga 4 Februari lalu di Klang. FOTO ihsan polis
POLIS menahan penagih dadah menerusi Ops Aman Khas 1/2024 sebanyak tiga fasa bermula 15 Januari hingga 4 Februari lalu di Klang. FOTO ihsan polis

“Selain itu, kita turut menahan 301 individu di dalam operasi ini yang membabitkan 10 warga tempatan dan 230 warga asing yang bekerja di kilang haram tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Turut diselamatkan dalam operasi ini adalah 10 warga asing membabitkan wanita dan kanak-kanak.

“Selepas itu, pada 26 hingga 27 Januari lalu, operasi membabitkan aktiviti maksiat dilaksanakan di pusat-pusat hiburan, KTV, pusat urut dan premis persundalan di Klang Utara dan Klang Selatan dengan 74 orang ditahan atas pelbagai kesalahan seperti bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan penjaga premis.



“Pada 29 Januari lalu pula, seramai 41 orang ditahan kerana menjalankan aktiviti menjual rokok dan minuman keras yang diseludup di Klang Utara dan Klang Selatan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 26 sasaran premis barang lusuh di Klang Utara dan Klang Selatan yang dikenal pasti dengan enam premis diambil tindakan saman mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Secondhand 1946 dan lapan individu berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Serbuan terhadap penempatan Pati dilakukan pada 31 Januari hingga 3 Februari lalu di Klang Utara dan Klang Selatan bertujuan membanteras pelbagai jenayah yang berlaku di sekitar kawasan itu terutama membabitkan Pati dengan 1,349 warga asing diperiksa dan 888 orang ditahan terdiri 771 lelaki, 116 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Mereka berasal dari Pakistan, Nepal, Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, Vietnam, India, Myanmar dan stateless ditahan kerana melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa,” katanya.



Menurutnya, serbuan di premis perjudian pula menahan 37 orang kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Turut dirampas semasa serbuan adalah 38 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM5,455.00.

Harian Metro




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading