Wasitah Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah JBSN baharu

KUALA LUMPUR, 20 Okt  — Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan pelantikan Wasitah menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Hatipah Ibrahim yang bersara wajib pada 30 Sept lepas setelah berkhidmat selama 37 tahun bersama KBS.

Wasitah yang merupakan pemegang Doktor Falsafah (Pendidikan Belia) Universiti Putra Malaysia memulakan kerjaya di KBS sebagai Penolong Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1986 hingga 1987, sebelum dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda dari 1997 hingga 2001.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor dari April 2006 hingga Sept 2007 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda dari Sept 2007 hingga April 2012.

Wasitah turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia dari April 2012 hingga Okt 2016 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia bermula Okt 2016 hingga kini.

Anak jati Singapura itu yang dibesarkan di Johor Bahru, Johor memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Melayu) Universiti Malaya pada 1985 sebelum mendapat Ijazah Sarjana Lanjutan (Recreational Park/Leisure Administration) Universiti Central Michigan, Amerika Syarikat pada 1996.

Wasitah memperoleh Ijazah Doktor Falsafah daripada UPM pada 2012.

Susulan sumbangannya kepada pembangunan belia dan sukan di negara ini, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pada 2018.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *