JDT rugi RM35 juta kesan COVID-19 – TMJ

ISKANDAR PUTERI, 21 Okt — Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM35 juta tahun ini kesan pandemik COVID-19, demikian dedah pemiliknya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

Menjangkakan JDT hanya dapat menstabilkan semula kedudukan kewangannya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, Tunku Ismail juga mengunjurkan perbelanjaan yang lebih berhemat pada tahun depan.

“Tempoh ini merupakan tempoh yang mencabar, COVID-19 menjejaskan kestabilan kewangan kami. Ini satu dugaan yang amat besar, jadi tahun depan kami kena lebih berjimat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

Sementara itu, Tunku Ismail juga memaklumkan pihaknya kini dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan beberapa isu sebelum mencapai sasaran kelab bernilai RM1 bilion pada tahun depan.

“Saya rasa kami kini dalam 75 hingga 80 peratus dan kena muktamadkan beberapa perkara untuk kami dapat penuhi syarat-syarat…  mungkin menjelang pertengahan tahun depan (dapat direalisasikan),” katanya.

Tunku Ismail turut mendedahkan pada masa ini terdapat empat syarikat antarabangsa berminat untuk bekerjasama dengan JDT termasuk menjadi penaja.

Diharapkan kehadiran syarikat ini akan membawa impak positif kepada JDT, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply