Pengarah syarikat bebas tuduhan ugut pengerusi Kumpulan Sunway

Gambar hiasan.

PETALING JAYA, 22 Okt — Seorang pengarah syarikat, bebas daripada tuduhan melakukan pemerasan berjumlah RM5 juta terhadap Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan kes itu.

Pada 27 Feb 2019, Cheah Chyuan Yong, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memeras ugut pengasas Yayasan Jeffrey Cheah tersebut, iaitu menakutkan beliau dengan cara ingin menyebarkan satu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan tujuan untuk mendorong Jeffrey menyerahkan sejumlah wang kepada seorang individu, Beh Chun Chuan dan menyelesaikan semua hutang tertuduh dengan Sunway Leasing Sdn Bhd, berjumlah RM5 juta.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, pada 12 Okt 2018 mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu, jika sabit kesalahan.



Peguam Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Cheah memberitahu Bernama bahawa pada 16 Jun lepas, Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya daripada pertuduhan itu, selepas pihak pembelaan memohon perintah pelepasan berikutan saksi pendakwaan yang merupakan pengadu dalam kes itu iaitu Jeffrey, tidak hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut.

“Pada 4 Ogos 2020, kami menulis surat kepada Peguam Negara memohon Cheah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan. Status DNAA membolehkan beliau dituduh semula pada masa akan datang,” katanya.

Hazizah berkata pihaknya menerima surat daripada AGC bertarikh 7 Okt lepas yang mengesahkan berdasarkan alasan-alasan dalam permohonan representasi pihaknya, AGC berpuashati untuk tidak akan meneruskan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Katanya surat itu ditandatangani Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Bahagian Pendakwaan AGC Yusaini Amer Abdul Karim.



Yusaini Amer semasa dihubungi mengesahkan, bahawa AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Cheah.

— BERNAMA

KAF SOKONG USAHA FELDA AMBIL SEMULA “LOMBONG EMAS”

KAF SOKONG USAHA FELDA AMBIL SEMULA “LOMBONG EMAS”

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker