Sampai Bilakah Warga Lembah Klang Terus Berdepan Masalah Air? – Norshida
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Wanita UMNO hari ini mempersoalkan sampai bilakah masalah air melanda warga Lembah klang yang hingga kini berterusan dan sampai bilakah titik noktah kepada penyelesaian masalah terbabit akan menjelma.
Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata di saat Selangor yang mengalami masalah bekalan air mentah yang kritikal, di saat itu juga pihak yang bertanggungjawab mengawal pencemaran memberikan seribu alasan untuk memuaskan hati mereka dan rakyat terus menderita.
”Di saat itu juga nama pencemaran yang setiap bulan bila muncul rakyat yang menjadi mangsa keadaan. Bagaimana sistem penguatkuasaan cekap, amanah serta jujur yang di jalankan oleh pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasa,” katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.
Tegas Norshida lagi apabila berlaku insiden pencemaran di awal PKP yang lalu pada bulan Mac 2020 rakyat masih boleh bersabar, tetapi apabila berlaku hampir setiap bulan, bukan kesabaran lagi tetapi maki hamun rakyat kepada pemimpin negara terus berlaku di sebabkan tindakan oleh ketua jabatan dan pegawai yang lemah dalam mengambil tindakan tegas.
Katanya kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk program pengawasan alam sekitar, aset kelengkapan penguatkuasaan, sistem pemantauan kualiti air yang canggih tetapi mengapakah hal ini terus berlaku?
“Di manakah sistem amaran awal kalau sekiranya sistem yang di pasang itu canggih. Tidak cukupkah lagi perbelanjaan duit rakyat digunakan.
“Berapa banyak lagi kajian yang perlu di jalankan sehingga isu pencemaran ini selesai. Adakah dengan kajian atau penguatkuasaan yang tegas boleh selesaikan isu,” ujarnya.
Ujarnya lagi agensi bertanggungjawab patut tanya diri sendiri bagaimana mahu menjaga kepentingan rakyat yang beratur panjang menunggu bekalan air untuk dibuat bekalan minuman dan bagi kegunaan membersihkan diri di kala COVID-19 menjadi kritikal melanda negara.
Terdahulu dilaporkan bekalan air di 1,292 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengalami gangguan ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada Isnin lepas. – UMNO Online