Wanita UMNO Sambut Baik Hasrat Parti Lakukan Genjatan Politik
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Wanita UMNO Malaysia menyambut baik pendirian UMNO untuk melakukan gencatan politik (political ceasefire) bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat dapat ditangani dan diutamakan.
Jelas ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad, keputusan pucuk pimpinan parti ini adalah tepat pada masanya kerana rakyat di kala ini bukan sahaja dibelenggu dengan masalah COVID-19 dan kenaikan kes yang mendadak tetapi juga ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan membantu sedaya mungkin bagi memastikan hasrat parti yang mahukan kita semua mendahulukan rakyat terlaksana.
“Maka, inilah masanya kita lebarkan langkah, aturkan strategi, gunakan segala apa yang kita ada untuk membantu meringankan beban rakyat,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.
Tambah Noraini, di kala ini perbezaan politik harus diketepikan kerana keperluan rakyat perlu diutamakan.
“Kita ketepikan perbezaan politik, dahulukan rakyat dan sama-sama membantu menenangkan kegelisahan di hati rakyat di atas ketidaktentuan ekonomi negara. Kita boleh, Malaysia boleh,” tegas beliau.
Untuk rekod, hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak melakukan gencatan politik dan menumpukan sepenuhnya usaha membantu rakyat dalam meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE
Relevankah Forensik Kertas Putih Apabila Menggunakan Perkataan “Kemungkinan “ Jika Ada”
Relevankah Forensik Kertas Putih Apabila Menggunakan Perkataan “Kemungkinan “ Jika Ada”