Tidak isytihar 70 aset, “faham pertuduhan, minta bicara”

Oleh – Syeikh Baran


Tidak isytihar 70 aset, “faham pertuduhan, minta bicara”
Daim berkerusi roda bersama isterinya Toh Puan Na’imah Khalid (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Amir Khalid/Kosmo!

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan 70 aset hartanya.

Bagaimanapun Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.



“Faham pertuduhan, minta bicara,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa telah dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.

Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.



Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Daim diwakili peguam M.Puravalen.

Mahkamah kemudian membenarkan Daim diikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Minggu lalu isteri Daim, Toh Puan Na’imah Khalid didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.



Ia yang mana, Na’imah, 67, tidak mengisytiharkan harta-harta seperti yang dinyatakan dalam lampiran A antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari tahun lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.



Pada 10 Januari lalu, Daim dan keluarga memfailkan semakan kehakiman mencabar tindakan SPRM menyiasat dan menyita aset mereka termasuk akaun-akaun bank dan kenderaan.

Oleh itu, Daim dan keluarganya memohon relif antaranya satu deklarasi bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat kesemua pemohon mengikut Akta SPRM atau pengubahan wang haram.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM ke atas Daim dan keluarganya termasuk Menara Ilham adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Kesemua pemohon juga menuntut agar kesemua siasatan terhadap mereka dihentikan, memulangkan semula semua dokumen dan aset yang disita dan menyahbeku akaun-akaun bank termasuk akaun bank syarikat.



Daim dan keluarganya turut memohon satu perintah yang melarang pihak pendakwaan daripada mendakwa mereka di mahkamah.

Turut dimohon ialah ganti rugi am dan teladan, kos atas dasar indemniti penuh kepada pemohon-pemohon dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button