12 Tahun PH Gagal Selesai Isu Air Selangor… ‘Enough Is Enough’ – Armand
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, rakyat harus membuka mata akan kegagalan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menyelesaikan masalah air selama 12 tahun.
Ujar beliau, permasalahan yang berlarutan ini juga adalah bukti permainan politik kotor PH yang sanggup menyisihkan kepentingan rakyat hanya kerana kuasa.
“kerajaan PH adalah kerajaan yang gagal. 12 tahun mereka tadbir negeri Selangor, apa yang mereka tidak janji kepada rakyat? Masalah asas iaitu air pun mereka gagal selesaikan. Kerana apa? Kerana permainan politik mereka yang amat kotor sehinggakan kepentingan rakyat disisihkan.
“Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir Selangor telah ada jalan penyelesaian iaitu loji Langat 2 tapi PH kata itu kroni dan projek tersebut dihentikan. Akibatnya rakyat yang menderita kini dan masalah air semakin meruncing. Ini juga lambang kegagalan tiga menteri besar Selangor yang hanya pandai bermain kata-kata tetapi tidak ada jalan penyelesaiannya,” ujar beliau.
Armand berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program ‘Hard Truth’ – Sengsara Air Di Negeri Selangor anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online Khamis, malam.
Tambah Armand, kini rakyat Selangor mula merasakan ‘enough is enough’.
“Hari ini rakyat sudah mula bersuara. Tiga penggal rakyat bagi peluang dan kini ‘enough is enough’. Selangor adalah negeri termaju dalam negara kita tapi masalah air ibarat Selangor sebuah negeri yang tidak maju. Isu air adalah isu asas.
“Sebenarnya banyak penyelesaian untuk isu ini. Takkan kerajaan negeri yang diberi mandat selama 12 tahun tidak ada konsultan untuk menyelesaikan masalah ini? Bukan setahun dua… tapi 12 tahun.
“Jadi rakyat tidak ada pilihan lain selain beri semula mandat kepada BN dan insya-Allah kita akan selesaikan dalam masa lebih kurang setahun,” tegas beliau. – UMNO ONLINE
KERTAS PUTIH FELDA – LAPORAN FORENSIK MENGELIRUKAN (EPISOD 3.25)
KERTAS PUTIH FELDA – LAPORAN FORENSIK MENGELIRUKAN (EPISOD 3.25)