COVID-19: BWF batalkan Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2020

KUALA LUMPUR, 22 Okt  — Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 18 hingga 24 Jan, 2021 di Auckland, New Zealand telah dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19, selain sekatan masuk dikenakan negara itu.

Keputusan itu dipersetujui bersama oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Badminton New Zealand dan juga penganjur, Auckland Tourism, Events and Economic Development (ATEED).

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan itu tidak dapat dielakkan kerana situasi COVID-19 ketika ini dan memaklumkan bahawa New Zealand akan menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada edisi 2024.

“Tuan rumah untuk edisi berikutnya telah bersedia pada tahun 2021 (di China), dan ketidakpastian situasi COVID-19 yang dijangka akan berlanjutan hingga tahun depan, penangguhan bukanlah satu pilihan,” kata  beliau.

Pada awalnya, kejohanan tahunan itu sepatutnya diadakan pada bulan September 2020 tetapi BWF telah memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada Januari 2021 dengan mengambil kira situasi global wabak COVID-19.

Pada 2018, Majlis BWF telah memutuskan untuk memberikan hak penganjuran kejohanan berkenaan kepada China pada tahun 2021, Sepanyol (2022) dan Amerika Syarikat pada tahun 2023.

“Kami menghargai bahawa beberapa pemain remaja akan berusia 19 tahun pada tahun 2021 dan sayangnya mereka tidak dapat merasai pengalaman bermain dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF. Kita hanya boleh menggalakkan mereka untuk mengembangkan bakat sebagai atlet badminton dan mula menyertai kejohanan terbuka antarabangsa,” tambah Lund.

Selepas Kejohanan Badminton Remaja Dunia, New Zealand dijadual akan menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Senior Dunia 2025.

— BERNAMA

‘ABAH’ AKAN TUMBANG KETIKA PEMBENTANGAN BAJET 2021?

‘ABAH’ AKAN TUMBANG KETIKA PEMBENTANGAN BAJET 2021?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker