Tercabar dengan aksi Da Sylva, rahsia kejayaan Omosuyi rangkul kasut emas

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Penyerang Selangor Ifedayo Omosuyi mengakui bersemangat setelah tercabar dengan aksi pesaingnya sehingga muncul penjaring terbanyak Liga Super 2020.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan 12 gol dalam Liga Super yang hanya membabitkan 11 perlawanan musim ini ekoran pandemik COVID-19 mengatasi pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (10) dan Dominique Da Sylva (sembilan) daripada Terengganu FC.

Mengimbas kembali aksi musim ini, Omosuyi menyatakan rasa terkejut dengan aksi Da Sylva yang meledak empat gol pada perlawanan kedua liga ketika skuad Penyu mengatasi Kedah 4-3, sedangkan beliau sekadar menjaringkan tiga gol dalam tiga aksi pada awal musim.



“Daripada situ, saya tekad ingin terus bantu pasukan dengan jaringan gol saya dan konsistensi dalam setiap perlawanan adalah sangat penting dan saya terus bekerja keras sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung (selepas tertangguh sejak Mac susulan pandemik COVID-19).

“Namun, saya percaya semua ini tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada rakan sepasukan yang membantu sehingga saya berjaya meledak gol,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Mengulas mengenai saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula 6 Nov ini, pemain Nigeria itu  berkata  pemain Selangor harus bekerja lebih keras untuk mempersiapkan diri di sebalik cabaran yang ada, khususnya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Format Piala Malaysia musim ini kita tahu tiada ruang untuk kita melakukan kesilapan, kerana tiada pusingan peringkat kumpulan. Jadi, memang kita kena berusaha lebih keras untuk melakukan persediaan sebaiknya,” katanya.



— BERNAMA

‘ABAH’ AKAN TUMBANG KETIKA PEMBENTANGAN BAJET 2021?

‘ABAH’ AKAN TUMBANG KETIKA PEMBENTANGAN BAJET 2021?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button