Empat pasukan jadi pilihan Rezal Zambery julang Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Empat pasukan Liga Super iaitu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Selangor, dilihat memiliki peluang cerah untuk menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang bakal berlangsung dari 6 hingga 22 November ini.

Bekas pemain kebangsaan Rezal Zambery Yahya berpandangan juara Liga Premier Pulau Pinang pula dijangka melakar kejutan pada kejohanan bola sepak tertua tanah air itu, berdasarkan taktikal mantap pengendalinya Manzoor Azwira Abd Wahid serta kehadiran beberapa pemain import berbisa.

“Tidak mustahil dalam saingan seperti ini kita akan menyaksikan kejutan kerana sejarah telah membuktikan pasukan-pasukan yang tidak beri keutamaan secara tiba-tiba mampu menonjol,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Dalam pada itu Rezal Zambery mengakui, format kalah mati yang bakal digunakan pada saingan Piala Malaysia musim ini, dijangka menjadi cabaran sukar untuk pasukan pilihan memburu slot ke pusingan seterusnya.

Beliau berkata kesemua 16 pasukan bertanding (11 pasukan Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier), perlu mengelak sebarang kesilapan, selain menggunakan semua pemain terbaik yang dimiliki bagi memastikan mereka mampu pergi lebih jauh kali ini.

“Format ini mungkin menggusarkan pasukan dan pemain kerana sudah biasa melalui saingan peringkat kumpulan, mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah, tetapi tidak pada saingan kali ini.

“Jadi, situasi pada saingan Piala Malaysia kali ini nyata berbeza kerana pemain dituntut berikan lebih 100 peratus kerana hanya kemenangan dalam setiap perlawanan sahaja mampu membawa mereka ke peringkat seterusnya,” katanya yang pernah beraksi dengan Johor, Kelantan, ATM dan Negeri Sembilan.

Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah daripada perlawanan peringkat kumpulan, kepada saingan kalah mati bermula pusingan pertama hingga ke aksi separuh akhir susulan penularan pandemik COVID-19.

Pusingan pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada 6-8 Nov, disusuli aksi suku akhir (12-13 Nov), separuh akhir (17 Nov), serta aksi final pada 22 Nov ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker