Sarawak Bakal Umum Dasar Baru Perkukuh Hak Ke Atas Sumber Asli, kata KM
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan dasar yang bakal mengukuhkan lagi haknya ke atas sumber asli yang ada di negeri itu.
Tanpa mendedahkan perincian dasar itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, ia susulan perkembangan semasa negeri itu yang mengisytiharkan hak wilayah perairannya.
“Kita tunggu dalam masa seminggu lebih (ini), saya akan umumkan dasar yang menguatkan (lagi) hak kita ke atas sumber yang ada di negeri Sarawak,” katanya semasa berucap pada konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) zon selatan Sarawak di sini.
Menurutnya, Sarawak memiliki Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang mengesahkan hak negeri ke atas sumber asli di perairan wilayah dan di bawah tanah wilayahnya.
“Sebab itulah saya umumkan taman marin di luar pantai Bintulu. Ia adalah tanah taman negeri Sarawak yang saya gazetkan walaupun ada negara lain yang menyoalkan tempat (kawasan) itu adalah hak mereka,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak juga bercadang menggubal undang-undang bagi menjadikan kredit karbon sebagai komoditi perdagangan selaras dengan inisiatif kerajaan negeri dalam mempelopori penghasilan sumber tenaga berasaskan teknologi hijau.
“AG kita (Peguam Besar Negeri Sarawak) sedang membuat rang undang-undang ini untuk negeri Sarawak. Negeri lain belum lagi ada undang-undang ini. Sarawak akan ada undang-undang (berhubung kredit karbon) ini,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), merangkumi PBB sebagai parti utama gabungan itu, selain Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang mengutamakan kestabilan pemerintahan dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Kita mahukan kerajaan yang stabil. Kita tahu (apa yang perlu dilakukan) di Sarawak. Kesihatan rakyat Sarawak lebih penting daripada pilihan raya,” katanya.
Bernama
KERTAS PUTIH FELDA – ANTARA AZMIN ALI, FELDA DAN FIC SIAPA SALAH?
KERTAS PUTIH FELDA – ANTARA AZMIN ALI, FELDA DAN FIC SIAPA SALAH?