6 anggota polis peras orang awam ditahan

 

KUALA LUMPUR: Enam anggota dari Balai Polis Serdang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerasan terhadap orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong.

Selain konstabel, anggota terbabit ada yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan dalam pemeriksaan mengejut oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, selepas menerima aduan dari orang awam.

Sumber Bukit Aman berkata ketika Operasi Pematuhan Proaktif Pemeriksaan Integriti COVID-19, oleh JIPS Bukit Aman pada jam 2 petang semalam, enam anggota terbabit sedang menjalankan pemeriksaan di Jalan Besar The Mines/Balakong.

Katanya, pasukan operasi mendapati seorang anggota polis menahan seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan terlalu lama sehingga menimbulkan curiga.



“Pada jam 3.25 petang, pasukan JIPS membuat pemeriksaan terhadap semua anggota terbabit selain turut menemubual penunggang motosikal terbabit yang pada ketika itu masih ditahan.

“Mangsa memberitahu pegawai JIPS dia ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen serta menggunakan identiti (ID) penghantar makanan orang lain,” katanya kepada BH hari ini.

Katanya anggota polis yang menahannya juga mengeluarkan gari selain turut bertanya kepada penunggang itu cara untuk dia menyelesaikan kes berkenaan.

“Anggota terbabit meminta mangsa menunggu sementara dia berbincang dengan ketua anggota cara untuk menyelesaikan kes.



“Pada mulanya anggota itu meminta wang sebanyak RM700, namun mangsa menyatakan hanya mempunyai wang sebanyak RM500, sebelum anggota itu mengambil wang berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudian mengecam anggota polis yang mengambil wang miliknya kerana memakai pelitup muka berwarna merah.

Dalam pemeriksaan itu juga pihak JIPS menemui wang tunai RM900 dipercayai hasil pemerasan terhadap orang ramai yang diperiksa.

Selain dalam poket pakaian mereka, sebanyak RM500 wang tunai dipercayai milik penunggang motosikal penghantar makanan ditemui disembunyikan dalam poket belakang tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta peronda polis.

Sumber itu berkata mereka juga didapati menjalankan penugasan di luar kawasan sektor dibenarkan.

Kesemua anggota terbabit ditahan dan ujian air kencing mendapati daripada mereka didapati positif menggunakan dadah.

KERTAS PUTIH (FORENSIK) – AZMIN PERLU BERTANGGUNGJAWAB APA YANG BELIAU BENTANGKAN DI PARLIMEN

KERTAS PUTIH (FORENSIK) – AZMIN PERLU BERTANGGUNGJAWAB APA YANG BELIAU BENTANGKAN DI PARLIMEN

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker