Ahli Politik Jadikan Akhlak Rasulullah SAW Contoh – Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan ahli-ahli politik menjadikan akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyatupadukan umat sebagai contoh supaya bersatu padu serta menyokong penuh usaha kerajaan sedia ada dalam mengatasi masalah penularan pandemik Covid-19.

Sultan Selangor menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office bertitah, rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat pandemik.

“Beta mahu ahli-ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

“Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, rakyat juga perlu menghayati dan mengamalkan ajaran Islam seperti yang diajar serta dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Baginda Rasulullah SAW seorang insan mulia dan agung yang merupakan anugerah Allah SWT kepada umat manusia di muka bumi ini.

“Rasulullah SAW adalah seorang khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya.

“Sempena sambutan Maulidur Rasul, beta menyeru umat Islam supaya terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan harian,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

KAF JAWAP ISU ‘SEDEKAH PAKSA’ YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker