Bantu Pengusaha Bas Ekspres

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Me­layu Semenanjung (PEMBAWA) memohon kerajaan menerusi Belanjawan 2021, membantu pengusaha bas tempatan yang berdepan dengan masalah me­lanjutkan tempoh bayaran pinjaman atau moratorium.

Yang Dipertua PEMBAWA, Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, operasi perkhidmatan bas ekspres yang terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pengusaha-pengusaha bas ‘lumpuh’ kerana hilang sumber pendapatan untuk membayar pinjaman dan hutang-hutang lain.

“Masalah berat dan utama kami adalah untuk membayar pinjaman bas. Kira-kira 99 peratus pengusaha bas atau syarikat berhutang dengan bank dan syarikat pembiayaan lain.



“Oleh itu, kami memohon kerajaan menyelesaikan masalah kewangan pengusaha bas dengan melanjutkan tempoh pinjaman atau moratorium. Pengusaha bas juga perlu membayar gaji pemandu dan pekerja sedangkan syarikat kini sangat ‘tenat’ dan majoriti ‘lumpuh’ kerana tiada pendapatan langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Mohamad Kaharrudin, pihaknya juga memohon kerajaan memberi subsidi atau bantuan seperti mana diberikan kepada pengendali bas henti-henti sepanjang krisis pandemik Covid-19.

“Pemberian subsidi, dana atau bantuan kepada pengusaha bas ekspres adalah untuk menyelesaikan masalah hutang-piutang termasuk kos penyelenggaraan yang membebankan ketika ini,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan menyediakan kira-kira RM220 juta untuk Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi 2019 dan 2020, yang mana tahun lalu sahaja sebanyak RM110 juta disediakan, berbanding RM91 juta pada 2018.



Sejak diperkenalkan pada 2012 hingga 2018, ISBSF telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM785.3 juta bagi memberi bantuan kepada pengendali yang terlibat.

Dalam pada itu, Mohamad Kaharuddin berkata, pengusaha bas baru sahaja menarik nafas lega ketika PKP Pemulihan (PKPP) susulan lebih 20 peratus perkhidmatan bas dapat beroperasi seperti biasa ketika itu.

“Tetapi kini, kami tidak dapat meneruskan perkhidmatan walaupun ada beberapa buah bas tetap beroperasi walaupun tidak menguntungkan dan ia hanya meningkatkan kos.

“Pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang pula menambah lagi beban pengusaha bas kerana jika kebiasaan 80 hingga 100 buah bas dapat beroperasi bagi satu syarikat, namun kini hanya empat buah bas beroperasi dengan hanya dua ke tiga penumpang bagi setiap bas. Ia hanya merugikan pengusaha bas,” katanya. – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button