FAM terus kunci mulut isu PBNP, Sumareh

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan untuk terus mengunci mulut dalam kemelut antara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan bekas pemain pasukan itu Mohamadou Sumareh yang memasuki episod baharu.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata pihaknya hari ini telah menerima surat keputusan Jawatankuasa Tatatertib PBNP yang mengenakan hukuman terhadap Sumareh atas empat kesalahan melanggar terma kontrak pemain.

Namun, Stuart menjelaskan pertikaian antara PBNP dan Sumareh yang mula hangat sejak hujung Ogos lalu kini berada dalam siasatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat berdasarkan keputusan tersebut.



“Pertikaian antara PBNP dan Sumareh kini dalam siasatan FIFA dan FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Justeru untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, FAM tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara ini sehingga FIFA membuat keputusan di peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mendapati Sumareh, 26, bersalah terhadap empat kesalahan serta mengenakan hukuman gantung dua tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak bagi setiap kesalahan tersebut.

Hukuman bagi keempat-empat kesalahan itu yang dilakukan ketika bersama skuad Tok Gajah berjalan serentak dan beliau hanya perlu menjalani hukuman selama dua tahun.



Sumareh melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lalu, dalam tempoh dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan pemain kelahiran Gambia itu tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan, sejak awal Ogos lepas.

Sumareh yang mula menyarung jersi Tok Gajah pada 2017 dilaporkan telah menghantar surat pembatalan kontrak kepada PBNP pada 4 Ogos berdasarkan klausa 8.6 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada satu kali.

Bagaimanapun, PBNP dilaporkan menafikan dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA (FORENSIK) – KENAPA MAKLUMAT SELEPAS ISU TIDAK DIBANGKITKAN?

KERTAS PUTIH FELDA (FORENSIK) – KENAPA MAKLUMAT SELEPAS ISU TIDAK DIBANGKITKAN?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker