Lelaki Larikan Kereta Peronda Polis Didakwa 6 Pertuduhan

Hebahkan !!!

BUTTERWORTH: Mencuri kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyamar sebagai pegawai polis, mencuri telefon bimbit dan cubaan merompak.

Itu antara tuduhan yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang bertindak berani melarikan kereta jenis Honda Civic milik polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Azrullah Mohd. Rodzi, 33, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut termasuk dua tuduhan lain yang dibacakan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan peniaga ikan bilis berkenaan di IPD SPU, kedai di Pokok Sena dan kedai di Tasek Gelugor di sini Sabtu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379, Seksyen 379A, Seksyen 170 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM17,500 beserta tiga penjamin.

Majistret turut membenarkan permohonan peguam untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor turut mengiringi tertuduh dan hadir pada prosiding itu bagi mengikuti perkembangan kes.

Akhbar baru-baru ini melaporkan dua lelaki yang juga adik-beradik bertindak berani menyamun sebuah kereta peronda polis di IPD SPU di Kepala Batas di sini.

Suspek menyamar sebagai anggota polis dari Bahagian Sumber Teknologi Maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan mahu membuat pemeriksaan pada kamera papan pemuka kereta tersebut.

Dua beradik itu kemudian membawa kenderaan tersebut keluar dari pekarangan IPD dan hanya disedari disamun oleh anggota polis balai berkenaan selepas kedua-dua mereka tidak pulang semula.

Suspek lelaki dan seorang wanita ditahan kira-kira empat jam kemudian di Shah Alam, Selangor selepas kira-kira empat jam melarikan kenderaan itu manakala adik suspek ditahan di Bukit Mertajam di sini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

%d bloggers like this: