Lelaki disyaki tembak paderi di gereja ditahan

Lyon: Seorang paderi Greek Ortodoks cedera ditembak dengan senapang di luar sebuah gereja di bandar Lyon semalam.

Kejadian berlaku ketika negara terbabit masih bergelut dengan serangan berdarah di gereja sejak beberapa hari lalu selepas insiden penerbitan semula kartun Nabi Muhammad SAW oleh majalah Charlie Hebdo yang disifatkan menghina Islam pada awal September lalu.

Sumber polis yang enggan dikenali berkata, Nikolaos Kakavelaki, 52, dilaporkan diserang ketika sedang menutup gereja di Lyon pada tengah hari.

Berdasarkan maklumat, mangsa dilaporkan ditembak dua kali di dada pada jarak dekat namun motif serangan masih belum diketahui.

Penyerang itu kemudiannya melarikan diri, namun pendakwa raya Lyon, Nicolas Jacquet mengesahkan suspek sudah ditahan.

Jacquet berkata, suspek tidak membawa sebarang senjata ketika ditahan polis.

“Seseorang yang mempunyai ciri bertepatan dengan keterangan diberikan saksi awal kini berada dalam tahanan polis,” katanya.

Sementara itu, pejabat pendakwa rata Lyon dalam kenyataan berkata, saksi dan seorang peronda polis yang melalui kawasan itu mendengar tembakan sebelum melihat suspek melarikan diri.

Katanya, mereka kemudiannya melihat lelaki dengan kesan tembakan di pintu belakang gereja.

Pihak pendakwaan berkata, siasatan sudah dimulakan polis bersama pihak pendakwaan antipengganas nasional.

Sebelum ini, Perancis berdepan dengan insiden serangan hampir sama termasuk pembunuhan tiga individu di gereja di Nice pada Khamis selain seorang guru yang dipenggal kepalanya pada awal bulan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *