Pasca PKP: Beralih arah bidang pertanian

PONTIAN : Pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia telah menyebabkan ramai rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, perkara itu tidak menghalang seorang peniaga, Md. Khairul Faiz Mustafa, 36, yang beralih ke bidang lain iaitu pertanian demi menyara keluarga dan menampung kehidupan seharian termasuk perbelanjaan empat anak yang masih bersekolah.

Dia sebelum ini pernah menjalankan perniagaan menjual burger pada waktu malam, sebaliknya PKP telah menyebabkannya hilang sumber pendapatan kira-kira RM6,000 selama tiga bulan.

Katanya, dalam tempoh tersebut, beliau menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan seharian selain berusaha mencari sumber pendapatan dalam bidang lain.

“Setelah meneliti dan mengenal pasti bidang yang sesuai, sebagai ahli peladang Unit Batu 26 Pekan Nanas, saya mengambil keputusan untuk menanam serai dan pisang tanduk sebagai pendapatan tambahan.

“Saya menyewa sebidang tanah seluas dua ekar milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas di Kampung Bakar Arang untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Md. Khairul, dia membelanjakan kira-kira RM20,000 iaitu daripada wang simpanan sendiri bagi tujuan kerja-kerja pembersihan, penyediaan tapak dan membeli anak-anak benih pokok serai dan pisang tanduk.

“Sebanyak 4,000 serai dan 1,000 pokok pisang tanduk telah ditanam manakala pokok serai akan dituai pada bulan depan dan pisang tanduk masih dalam proses pembesaran.

“Saya masih lagi menjalankan perniagaan burger pada waktu malam dan ini diibaratkan ‘sediakan payung sebelum hujan’ sekiranya PKP dilaksanakan semula pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya lagi, ketika memulakan kerja-kerja ini, tanah tersebut merupakan kawasan belukar dan banyak pokok-pokok namun hanya ketabahan dan kecekalan menjadi dorongan untuk terus berusaha.

“Selain cabaran haiwan liar iaitu babi hutan dan monyet yang menjadikan tanaman yang baru ditanam seperti pokok pisang sebagai sasaran untuk mendapatkan makanan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

KAF JAWAP ISU ‘SEDEKAH PAKSA’ YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker