Pengunjung LFS Kuala Terengganu merudum 95 peratus

KUALA TERENGGANU: Jumlah pengunjung ke Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu di Paya Bunga (PB) Square di sini merudum kira-kira 95 peratus sejak operasi pawagam dibuka semula pada 1 Julai lalu.

Pengurusnya, Mohd. Zulmajdi Razali berkata, pihaknya hanya menerima seramai 4,723 pengunjung pada Julai lalu berbanding 57,131 orang yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun sebelumnya.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 52,408 orang hingga menjejaskan pendapatan perniagaan.

“Kedatangan pengunjung terus merosot pada Ogos dengan seramai 5,626 orang bersamaan pengurangan sebanyak 84,693 orang daripada 90,319 orang yang diterima dalam tempoh sama 2019,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

LFS Kuala Terengganu merupakan pengusaha pawagam pertama di Malaysia yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula Julai lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Zulmajdi berkata, operasi LFS Kuala Terengganu akan turut ditutup sementara bermula Isnin ini sebagaimana pawagam lain di seluruh negara selaras keputusan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE).

MAFE dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, langkah penutupan itu diambil berikutan tidak dapat menampung kos operasi harian yang tinggi sejak beroperasi semula pada Julai lalu.

Di samping itu, kenyataan tersebut berkata, faktor lain yang menjejaskan pendapatan pawagam di negara ini ialah kerana ketiadaan filem-filem blockbuster dari Hollywood dan penetapan tempat duduk mengikut prosedur operasi standard (SOP). -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *