Pejuang mahu teliti dahulu kandungan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebulat suara bersetuju supaya kandungan Belanjawan 2021 diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan untuk memberi sokongan dibuat.

Lima Ahli Parlimen yang menganggotai Pejuang merasakan persetujuan tanpa terlebih dahulu meneliti isi kandungan Belanjawan adalah tidak bertanggungjawab.

”Kami ingin memastikan Belanjawan ini dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara,” kata mereka dalam kenyataan di sini.

Lima Ahli Parlimen berkenaan ialah Dr Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Dr Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (SRI Gading).



Ahli-ahli Parlimen Pejuang juga, menurut kenyataan itu, mempunyai pandangan dan idea bagaimana kita boleh membantu mengatasi bahagian-bahagian tertentu masalah ekonomi negara.

Katanya, pandangan dan idea itu bukanlah bertujuan politik tapi hanya untuk menunai janji kami kepada rakyat.

Mereka juga berpandangan bahawa kerajaan dan menteri-menteri sehingga kini tidak berfungsi seperti yang diperlukan oleh rakyat sebaliknya tumpuan hanya kepada kedudukan politik masing-masing.

Pejuang juga dalam masa yang sama menyambut baik saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk tidak meletakkan calon  bertanding pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.



”Kami faham keluh-kesah rakyat yang sudah bosan dengan politik kepartian lebih daripada kepentingan rakyat.

“Sebarang keputusan di Parlimen atau sebarang langkah di Parlimen perlulah berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” kata mereka.

Pejuang sehingga kini masih menunggu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan permohonan mereka untuk mendapatkan parti tersebut.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada Jumaat, 6 November ini. Ia merupakan belanjawan pertama selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil-alih kerajaan daripada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker