Kasut Michael Jordan dilelong RM9.71 juta

New York: Sepasang kasut yang dipakai bintang NBA, Michael Jordan dilelong pada harga AS$2.2 juta (kira-kira RM9.71 juta) pada Selasa, sekali gus mencatat rekod lelongan untuk kasut sukan yang dipakai ketika perlawanan.

Pemain bola keranjang itu memakai ‘Bred’ Air Jordan 13s semasa Perlawanan 2 Pusingan Akhir NBA 1998, ketika memburu kejuaraan NBA keenam dan terakhirnya.

Jualan dalam talian mengukuhkan kedudukan Jordan sebagai atlet paling berharga di lelongan pakaian sukan untuk disimpan atau dikumpul.

Ia memecahkan rekodnya sendiri sebanyak AS$1.5 juta (kira-kira RM6.62 juta) untuk kasut, pada September 2021.

Tahun lalu, salah satu jersinya dijual pada harga AS$10.1 juta (kira-kira RM44.61 juta), yang paling banyak dibayar pada lelongan untuk mana-mana koleksi perlawanan.

“Keputusan pemecahan rekod hari ini membuktikan bahawa permintaan untuk koleksi sukan Michael Jordan terus mengatasi prestasi jangkaan,” kata ketua pakaian jalanan dan koleksi moden Sotheby’s, Brahm Wachter dalam kenyataan.

Wachter berkata, nostalgia untuk era berbeza mendorong populariti koleksi Jordan.

“Kami mempunyai pelanggan dalam semua bidang berbeza, daripada hartanah, kewangan kepada ekuiti persendirian. Terdapat ramai berminat dalam pasaran baru muncul ini,” katanya kepada AFP.

Harga lelongan itu mengatasi anggaran prajualan iaitu AS$2 juta (kira-kira RM8.83 juta) dan anggaran tertinggi jualan adalah AS$4 juta (kira-kira RM17.66 juta).

Rumah lelongan itu berkata, Jordan menandatangani kasut itu dan memberikannya kepada pemain bola selepas perlawanan.

Sotheby’s tidak menyatakan sama ada penerima itu adalah penjual dan tidak mengenal pasti pembeli kasut saiz 13 itu.

Jordan memakai kasut itu untuk separuh masa kedua kemenangan Chicago Bulls 93-88 ke atas Utah Jazz pada 5 Jun 1998.

Jordan menjaringkan 37 mata, tertinggi dalam permainan ketika pasukannya mengikat siri 1-1.

Pusingan Akhir dipaparkan dalam dokumentari ESPN/Netflix 2020, The Last Dance, mengenai musim terakhir Jordan bersama pasukan Chicago.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker