Kanak-kanak dijumpai selepas 65 jam tertimbus

Izmir: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun yang mengalami kecederaan berjaya diselamatkan pada Isnin, beberapa hari selepas gempa berkekuatan 6.6 skala Richter melanda pantai Aegean Turki, lapor Agensi Anadolu.

Elif Perincek dikeluarkan daripada serpihan runtuhan hampir 65 jam selepas gempa menggegar daerah Bayrakli di wilayah barat Izmir.

Elif, mangsa ke-106 yang diselamatkan daripada kawasan runtuhan dan dikejarkan ke hospital.

Dalam ciapan di Twitter, Mehmet Gulluoglu, Ketua Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki, melahirkan rasa gembira kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Kira-kira 23 jam selepas gempa itu, ibu Elif, Seher Dereli Perincek dan adik-beradik kembarnya yang berusia 10 tahun, Ezel dan Elzem Perincek, serta saudara lelakinya Umut Perincek, 7, ditarik keluar daripada runtuhan.

Bagaimanapun, Umut kehilangan nyawanya, sementara ibu dan dua adik-beradiknya masih dalam rawatan.

Turki adalah antara zon seismik paling aktif di dunia kerana ia terletak di beberapa garisan aktif dan pernah mengalami gempa bumi dahsyat sebelum ini.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker