Saya nak daki gunung pula!

Batu Gajah: Berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas kudung kaki kiri tidak melunturkan semangat Wan Ariff Ferdaus Wan Ahmad Affendy untuk mengejar cita-cita menjadi atlet renang atau pemain bola sepak.

Remaja berusia 16 tahun itu kehilangan kakinya berikutan kanser tulang dihidapi sejak 2016.

Katanya, pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya menyarankan pemotongan itu bagi mengelakkan komplikasi dan dia reda menerimanya walaupun sedar kekurangan terpaksa ditanggung.



Wan Ariff Ferdaus bagaimanapun bersyukur kerana memperoleh kaki palsu yang membolehkan dia aktif bersukan.

“Alhamdulillah, walaupun saya berkaki palsu, tetapi tidak membataskan apa yang hendak saya lakukan mahupun rasa sedih.

“Saya minat sukan lasak, cuma selepas dapat kaki palsu yang baharu mungkin lebih banyak aktiviti lasak dapat saya lakukan seperti daki gunung dan berbasikal,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sentang di sini, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang hadir meninjau keperluannya.



Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia kini membantu ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 37, berniaga makanan pada sebelah petang untuk menampung kehidupan mereka selain kos berulang-alik ke hospital yang mencecah RM600.

Katanya, dia turut membuat akaun YouTube sendiri iaitu Wan Arif Channel yang berkongsi kisah hidupnya dan prosedur perubatan dilalui.

Sementara itu, Mohd Hafez Mubin berkata, kunjungannya itu untuk melihat jenis bantuan yang diperlukan Wan Ariff Ferdaus.

“Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri menyatakan kesudian membantu selepas membaca kisahnya yang tular.



“Setakat ini kita maklum, dia memerlukan kaki palsu baharu. Insya-Allah kami akan berhubung dengan PPUM untuk maklumat lanjut,” katanya.

Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button