PRK Batu Sapi: SPR hantar kad pengundi kepada 32,962 pengundi berdaftar

 

SANDAKAN, 5 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mula menghantar kad pengundi kepada 32,962 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, terdiri daripada 1,810 pengundi awal dan 31,152 pengundi biasa.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata usaha itu bertujuan menggalak serta memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK itu nanti.



Beliau berkata kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, nombor bilangan pengundi, tarikh dan masa mengundi serta cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan, yang akan memudahkan pengundi keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu 1 Dis dan hari mengundi biasa pada 5 Dis depan.

“SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN”. Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak COVID-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin juga berkata SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai hari ini kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen Batu Sapi.



Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan dinyatakan dalam kad itu.

Bagaimanapun, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian penting SPR di 03-8892 7018.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button