Belanjawan 2021 bagi memelihara kesejahteraan rakyat, negara

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Dalam menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kerajaan membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata matlamat utama belanjawan itu adalah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Kerajaan memperuntukan RM322.5 bilion untuk tahun hadapan dengan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan serta RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19,” katanya semasa membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Malaysia bukan keseorangan dalam menghadapi cabaran-cabaran itu kerana dunia menghadapi krisis kesihatan sejak awal tahun ini dan masih lagi memerangi pandemik berkenaan, serta krisis ekonomi terburuk sejak era the Great Depression pada sekitar tahun 1930-an.

“Dalam melindungi rakyat, kerajaan bercadang menaikkan siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion bagi membiayai pakej KITA PRIHATIN, bantuan tambahan bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan vaksin kelak,” katanya semasa membentang belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional itu.

Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga COVID-19 dan menyediakan pemberian ‘one-off’ RM500 bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan yang dijangka dapat memanfaatkan 100,00 petugas kesihatan.

Belanjawan itu menyediakan insentif cukai, penurunan cukai pendapatan, perlindungan sosial bagi golongan B40 serta rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan, bantuan kewangan bersasar, membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan.

Semuanya itu bagi memelihara kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat impak pandemik berkenaan kerana ada yang hilang sumber pendapatan, perniagaan terjejas serta menyentuh secara terus kelangsungan kehidupan rakyat.

Pelepasan cukai disediakan bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.

Cukai pendapatan pula diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan bercukai RM50,001 hinga RM70,000 yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Kadar bantuan dan elaun bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak berupaya bekerja, pekerja OKU, warga emas, kanak-kanak keluarga miskin semuanya dinaikkan, melibatkan peruntukan RM2.2 bilion, yakni tambahan RM700 juta, dan memanfaatkan lebih 400,000 penerima.

Bantuan Sara Hidup (BSH) pula digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), menyaksikan ia bakal memanfaatkan 8.1 juta orang, dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH.

Bukan itu sahaja malah bagi tahun 2021, Zafrul berkata kerajaan menyediakan hampir RM28 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif, antaranya bantuan pengangkutan dan kebajikan serta subsidi bagi mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kadar caruman minimum KWSP dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus sepanjang tahun depan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dan ia dijangka menjangkau sehingga RM9.3 bilion.

Seterusnya menyusul berita yang dinantikan ramai, dan kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

“Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan 600,000 ahli yang terjejas,” kata Zafrul yang merupakan tokoh perbankan sebelum menjadi menteri.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker