Lebih 200 syarikat gagal bayar gaji minimum kepada pekerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil tindakan segera terhadap lebih 200 syarikat yang didakwa gagal melunaskan gaji minimum kepada pekerjanya, terutama dalam sektor pembersihan dan keselamatan.

Penganjur Perhimpunan 1 Mei 2023 mendakwa senarai semua syarikat terbabit sudah diserah kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) sejak awal tahun lalu bagi membolehkan kementerian menyiasat aduan yang dibuat pekerja, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil sehingga kini.

Susulan itu, jurucakapnya, S Arutchelvan, berkata Perhimpunan 1 Mei 2023, dianjurkan di ibu negara, semalam bagi menuntut kerajaan, khususnya KSM mengambil tindakan segera terhadap syarikat berkenaan.



Beliau menjelaskan, kebanyakan pekerja yang membuat aduan belum menerima gaji minimum seperti disyaratkan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 berkuat kuasa 1 Januari 2023 adalah dalam sektor pembersihan dan keselamatan.

“Kita ada buat aduan dua kali. Kali pertama, kita hantar nama 170 syarikat (yang gagal menjelaskan gaji minimum). Kali kedua, hampir 50 syarikat.

“Memang kita hantar nama syarikat ini kepada KSM. Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan. KSM hanya maklum akan siasat aduan.

“Pada masa sama, kita terima pula aduan ada pekerja yang dikenakan tindakan kerana membuat aduan terhadap majikan mereka,” katanya kepada BH.



Semalam, kira-kira 200 pekerja berhimpun di ibu negara bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pelaksanaan gaji minimum yang didakwa masih gagal dituruti banyak majikan sungguhpun ia sudah mula berkuat kuasa sejak awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata, pihak penganjur himpunan itu akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Jumaat ini, bagi membincangkan langkah penyelesaian terhadap isu yang berbangkit ini.

“Kita baru dapat satu temu janji pada jam 10 pagi Jumaat ini. Memang kebanyakan majikan ini adalah kontraktor pembersihan dan anggota keselamatan. Mereka sebelum ini dimaklumkan, mereka tidak bayar sebab majikan belum menerima bayaran oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Tapi kita juga dimaklumkan, walaupun ada penyelarasan gaji iaitu gaji minimum, syarikat terbabit perlu mengikut apa yang sudah dipersetujui dalam janji tender (surat setuju terima),” katanya.



Sementara itu, berdasarkan salinan surat aduan kepada KPM, syarikat yang didakwa gagal melunaskan pembayaran gaji minimum itu didapati beroperasi hampir di semua negeri.

PGM 2022 mula berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa lebih lewat iaitu pada 1 Januari 2023.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading