Belanjawan 2021: Bantuan bulanan OKU, warga emas, kanak-kanak miskin dinaiikan

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kadar bantuan kebajikan bulanan bagi golongan rentan akan dinaikkan, melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM700 juta kepada RM2.2 bilion yang akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kadar bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

“Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata kadar Elaun Pekerja OKU juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Selain itu, katanya kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan daripada RM100 bagi seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 untuk seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang bagi anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.

Tengku Zafrul berkata peningkatan kadar bantuan itu diharap dapat membantu dari segi penjagaan anak-anak serta nutrisi makanan.

“Contohnya, jika Puan Safiah mempunyai tiga orang anak dengan dua daripadanya berumur enam tahun dan ke bawah dan suaminya OKU bekerja, keluarga beliau akan mendapat bantuan RM1,000 sebulan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *