Belanjawan 2021: Peruntukan RM500 juta bagi pelihara khazanah alam


KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi memelihara khazanah alam menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya peruntukan itu merangkumi RM50 juta untuk menangani isu sampah dan sisa pepejal yang terperangkap di dalam sungai dan RM40 juta bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar, termasuk mewujudkan 30 stesen pemantauan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

“Selain itu, RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek Integrated Island Waste Management di sekitar pulau di Johor dan Terengganu untuk mengurangkan kesan kemusnahan terumbu karang dan hidupan marin. Program ini melibatkan kolaborasi pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata jumlah itu turut melibatkan peruntukan di bawah Pemberian TAHAP (Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup) kepada semua kerajaan negeri daripada RM350 juta kepada RM400 juta, dengan RM70 juta digunakan bagi aktiviti ecological fiscal transfer sebagai insentif tambahan kepada kerajaan negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan program penanaman pokok bakau bagi memelihara kawasan paya bakau serta spesies pokok lain di pesisiran pantai, antaranya di Tanjung Piai, Johor dan Kuala Sepetang, Perak.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan RM30 juta di bawah Program SAVE 2.0 yang menyaksikan pemberian e-Rebate RM200 kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan.

Insentif ini dijangka memanfaatkan 140,000 isi rumah.

“Bagi mengawal biodiversiti kawasan hutan dan pemburuan haram, kerajaan akan memperkasa program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti dengan pengambilan lebih 500 bekas tentera, polis dan Orang Asli untuk menjalankan aktivti rondaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker