Belanjawan 2021: Peruntukan RM90 juta bagi program imunisasi pneumokokal

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kerajaan memperuntukkan RM90 juta bagi program imunisasi pneumokokal yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Beliau berkata sejumlah RM25 juta diperuntukkan bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital.

“Sejumlah RM6 juta turut diperuntukkan bagi perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memperuntukkan RM24 juta bagi pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

Beliau menjelaskan peruntukan itu diberi setelah mengambil kira lebih 35,000 panggilan yang diterima oleh Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan antara bulan Mac dan Oktober lepas, yang antara mengenai masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata bagi menambah baik program mySalam, kerajaan akan memperluaskan perlindungan itu ke atas tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau prostesis.

Jelasnya ia susulan mySalam telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak RM64 juta kepada 56,000 pesakit selain 19,000 individu menerima pampasan berjumlah RM 11 juta setakat 31 Okt lepas.

Selain itu kerajaan bercadang memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang dengan setiap penerima akan diberi baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

“Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan melebihi RM100 untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi program saringan kanser serviks, dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi mendapat kanser payudara.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker