COVID-19: Malaysia catat 1,755 kes baharu, tertinggi setakat ini

 

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Malaysia mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 tertinggi setakat ini dengan 1,755 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan angka terkumpul kes positif sebanyak 38,189.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 11,530 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 1,752 kes adalah penularan dalam negara manakala tiga lagi merupakan kes import yang mendapat jangkitan di Arab Saudi, Afrika Selatan dan Myanmar.

“Kesemua kes baharu hari ini melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 1,199 kes, Pulau Pinang (192), Selangor (164), Labuan (59), Negeri Sembilan (45), Kedah (19), Perak (18), Kuala Lumpur (17), Sarawak (17), Putrajaya (9), Terengganu (8), Johor (3), Melaka (2),” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 726 kes pulih dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 26,380 kes atau 69.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, katanya terdapat dua kes kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 sebanyak 279 kes, selain 83 sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kaedah penentuan zon jangkitan COVID-19 berdasarkan bilangan kes harian dan jumlah kes kumulatif untuk tempoh 14 hari yang lepas menjadi asas kepada District Risk Reduction Programme (DRRP).

“Ini membantu pemahaman tindakan selanjutnya yang perlu diambil oleh komuniti dan dipandu oleh kerajaan di kawasan setempat. Bagaimanapun kaedah penentuan zon jangkitan COVID-19 bukan hanya bergantung kepada DRRP, sebaliknya mengambil kira risiko jangkitan dan penularan virus itu di satu-satu kawasan.

“Antara kriteria itu ialah kadar peningkatan kes, taburan kes positif, peratusan bilangan kes tidak bergejala, kepadatan penduduk di kawasan terlibat, latar belakang sosiodemografi setempat, kewujudan infrastruktur guna sama di lokaliti seperti pasar, sekolah dan rumah ibadat serta terdapat sejarah perhimpunan beramai-ramai di sesuatu lokaliti dalam tempoh kebolehjangkitan semasa kes mula dikesan,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker