COVID-19: Satu PKRC tambahan dibuka di Kinabatangan – Masidi

cb6452ca3b9943153faee327f2ff648a5fa4163cedc26Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC)

 

KOTA KINABALU, 5 Nov — Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) tambahan di Dewan Sukau dan Rekreasi Kinabatangan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi dalam kenyataannya berkata PKRC tambahan itu telah mula beroperasi pada Rabu (4 Nov).

Dalam perkembangan berkaitan, Masidi yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata sebanyak 7,994 katil disediakan di PKRC dan 939 katil di hospital COVID-19, menjadikan keseluruhan berjumlah 8,933 katil dengan 36.46 peratus daripadanya digunakan pada hari ini.

 

Sementara itu, Masidi berkata, seramai enam pegawai perubatan pakar tambahan akan ditempatkan masing-masing di Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

“Seramai 16 pegawai perubatan juga akan ditempatkan di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Hospital Tawau, manakala 14 jururawat lagi akan ditempatkan di Hospital Tawau,” katanya.

Setakat ini, JKNS menerima seramai 459 petugas barisan hadapan menerusi program mobilisasi sumber manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu Sabah membendung COVID-19.

 

Daripada jumlah itu, seramai 260 jururawat, 141 pegawai perubatan, manakala selebihnya iaitu 58 orang adalah pegawai perubatan pakar, katanya.

“KKM sentiasa prihatin terhadap keperluan JKNS dalam memastikan perkhidmatan dan rawatan di hospital berada pada tahap optimum,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi menggesa semua pihak memberi kerjasama padu dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard selain mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan terbaik termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan dan sumber informasi tepat, katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata kes baharu COVID-19 di seluruh negara masih mencatatkan angka empat digit iaitu 1,009 kes dengan Sabah kekal sebagai penyumbang tertinggi iaitu 564 kes.

— BERNAMA

 

Leave a Reply