Tambahan peruntukan RM1 bilion bendung gelombang ketiga COVID-19 – Tengku Zafrul

 

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Sejumlah RM1 bilion lagi akan diperuntukkan pada tahun hadapan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata peruntukan berkenaan merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“RM318 juta bagi penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pensanitasi tangan kepada petugas barisan hadapan KKM. Sejumlah RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19.

“RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.



Peruntukan tambahan itu juga bagi menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu,”

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga bersetuju meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta COVID-19.

Katanya pelepasan cukai itu diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.

“Kerajaan juga akan memberi pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000 dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000,” katanya.



Katanya sebagai tambahan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa dinaikkan RM5,000 kepada RM8,000.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker