Lima pelajar ditahan bantu siasatan pergaduhan di asrama sekolah

38a9541abedb20f940d9f142108eb5535e3a5e302aa4e

KLUANG, 7 Nov — Lima pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di asrama sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata kesemua mereka ditahan pada kira-kira 2.45 petang oleh sepasukan polis dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang.

Katanya mereka ditahan selepas polis menerima aduan seorang wanita dua hari lepas, mendakwa anak lelakinya dan seorang lagi pelajar berumur 14 tahun dipukul beberapa pelajar senior di sekolah berasrama berkenaan.



Wanita itu mengetahui anaknya dipukul selepas memeriksa telefon bimbit anaknya yang mengadu kepada rakan bahawa mereka telah dipukul dan kejadian dipercayai berlaku di bilik asrama sekolah, disyaki berpunca daripada salah faham, katanya dalam kenyataan.

“Kedua-dua pelajar yang menjadi mangsa pukul itu telah mendapat rawatan dan mereka diberi amaran agar tidak menceritakan hal berkenaan kepada pihak sekolah,” katanya.

Menurut Low, hasil ujian air kencing mendapati kesemua remaja yang ditahan itu negatif terhadap penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah, sementara kes disiasat menurut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button