COVID-19: Portugal kenakan perintah berkurung Isnin

LISBON: Portugal akan melaksanakan perintah berkurung di hampir keseluruhan negara itu bermula Isnin dalam usaha mengekang lonjakan kes COVID-19.

Perdana Menteri, Antonio Costa, berkata langkah itu akan berkuat kuasa setiap malam antara Isnin hingga Jumaat bermula jam 1 tengah hari pada hujung minggu bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

“Satu-satunya cara untuk mengawal pandemik ini ialah mengelak interaksi sosial,” kata Costa, selepas mesyuarat khas Kabinet, semalam.

Beliau turut memaklumkan langkah itu perlu dibuat untuk mengelak pelaksanaan perintah berkurung lebih ketat seperti pernah dilaksanakan sebelum ini.



Pengumuman itu dibuat sehari selepas Portugal mengisytiharkan darurat akibat pandemik berkenaan, dengan jangkitan baharu melonjak sehingga 6,000 kes sehari sejak awal bulan lalu.

Costa berkata, perintah berkurung itu dijangka membabitkan kira-kira 70 peratus populasi negara berkenaan.

Beberapa negara Eropah melaksanakan sekatan baharu dalam usaha mengekang gelombang kedua jangkitan wabak itu di seluruh benua berkenaan.

Greece antara negara Eropah terbaru melaksanakan perintah berkurung semalam, dengan rakyatnya hanya dibenarkan keluar dari rumah jika mendapat kebenaran pihak berkuasa, yang boleh dimohon menerusi telefon bimbit.



Poland turut melaksanakan sekatan baharu hujung minggu ini dengan menutup hampir semua pusat membeli-belah di negara itu. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker