Belanjawan 2021: Peluang kerjasama dengan pakar tingkat keselamatan siber

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Peruntukan RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia dalam Belanjawan 2021, membuka peluang kepada kerjasama lebih ramai penganalisis dan pakar akademik keselamatan dalam negara, untuk memberi pendedahan kualitatif dan pembangunan perisian keselamatan siber.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerjasama itu boleh merangkumi program kesedaran berterusan dan penyediaan manual perlindungan kendiri, bagi mengesan ancaman dan cubaan awal memerangkap pengguna digital atau menimbulkan ancaman kepada industri berkaitan.

“Pembangunan perisian dan kawal selia data-data penting yang lebih berpusat, juga harus dijadikan keutamaan kepada keselamatan siber, dalam memastikan kerjasama secara strategik dengan industri yang mempunyai akses data digital pengguna.

“Ia sekali gus juga dapat melindungi data-data penting dan perisian, daripada digodam golongan tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk melakukan jenayah siber,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Nirwandy berkata inisiatif kerajaan dalam memperuntukkan RM500 juta kepada Jalinan Digital Negara (JENDELA), merupakan jalan terbaik bagi menyediakan pengaksesan internet lebih baik kepada 430 buah sekolah, bagi memastikan pembelajaran secara dalam talian dapat dilaksanakan lebih mudah.

“JENDELA adalah pemangkin kepada strategi dan pendekatan bersasar, yang menjadi aras tunjuk strategi jangka panjang penyelesaian dan penambahbaikan pembelajaran digital dan dalam talian dalam negara.

“Selain itu, skim pembiayaan komputer riba kepada pelajar universiti adalah berita yang dinantikan oleh mahasiswa kali ni, bagi meningkatkan kualiti pembelajaran secara dalam talian kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya telah dan akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana ahli akademik dari institusi pengajian tinggi, untuk meningkatkan keselamatan siber negara.

Beliau menyifatkan inisiatif kerajaan itu merupakan pengiktirafan, dalam usaha mencegah ancaman jenayah siber dan dalam masa sama memastikan wujudnya prasarana keselamatan siber yang selamat lagi kondusif di Malaysia.

“Berdasarkan statistik insiden keselamatan siber Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia, sehingga Oktober 2020 sebanyak 9,042 laporan dibuat berbanding 8,770 pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 3.1 peratus, dengan insiden tertinggi yang dilaporkan adalah Penipuan, Pencerobohan dan Kod Berbahaya.

“Dengan tahap risiko semasa, jenis ancaman serta bilangan serangan siber yang berlaku, pendekatan keselamatan siber perlu dilaksanakan secara holistik melibatkan individu, proses, dan teknologi secara efektif, yang berupaya mengurangkan risiko serangan siber serta melindungi sistem rangkaian dan teknologi itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia, bagi meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.

Selain itu, kerajaan juga akan memperuntukan RM500 juta bagi melaksanakan JENDELA untuk 430 buah sekolah seluruh negara dan RM7.4 billion daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar.

— BERNAMA

FELDA Adalah “Lubuk Harta Karun” Yang Menjadi Rebutan Penyamun Politik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker